Apa itu kaum? Tentunya bangsa yang diagung-agungkan oleh kebanyakan pihak. Sejarah lampau telah membuktikan akan semangat berpuak yang diamalkan oleh kabilah Arab. Bangsa Arab dipecahkan kepada beberapa suku kaum dan suku-suku tersebut sanggup melakukan apa sahaja demi maruah suku kononnya.
Kemudian dunia gempar dengan kebangkitan rejim nazi yang berjuang demi bangsanya iaitu bangsa Aryan di German. Kesan kebangkitan rejim yang berteraskan bangsa Aryan ini terus menyumbang kepada fahaman nazinisme yang mewujudkan kumpulan-kumpulan pelampau berteraskan bangsa secara langsung atau tidak langsung. Keganasan secara kasar atau halus dijadikansenjata utama bagi memartabatkan bangsa yangdiagung-agungkan hingga ke hari ini.
Kewujudan manusia berbilang bangsa, kaum atau suku bukanlah suatu kesalahan atau punca kepada permusuhan etnik. Tetapi manusia itu sendiri yang bersalah kerana mewujudkan sempadan diantara kaumnya dengan kaum lain.Sempadan ini terbentuk kerana ada perbezaan atau hirarki yang kononnya wujud bangsa yang hina dan bangsa yang mulia. Seseorang manusia itu tidak mulia dan tidak pula hina kerana status bangsanya semata-mata tetapi diri manusia atau individu itu sendiri yang membentuk keperibadian dirinya. Jika perlakuannya baik, tentulah dipandang mulia oleh masyarakat dan sebaliknya. Seseorang individu itu harus berusaha dengan cara yang terbaik untuk memartabatkan dirinya dan secara tidak langsung dapat menjaga nama baik bangsanya. Tidak menjadi kesalahan untuk menaikkan nama bangsa atau sesebuah komuniti itu dengan cara sebegini sekiranya ianya tidak menjurus kepada suatu tindakan yang melampau.
Di Malaysia, isu perkauman menjadi-jadi sehingga tiba ke suatu peringkat yang amat menjijikkan. Tidak kira dalam konteks politik atau masyarakat normal, masalah perkauman ini terus-menerus menjadi isu hangat.Semenjak dari sejarah kewujudan Malaysia sebagai negara majmuk sehingga kini, masyarakat masih belum mencapai solidaritas yang sebenarnya. Perbezaan atau sempadan antara etnik terus dibentuk kerana semangat perkauman yang amat mendalam masih lagi wujud. Dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi, keadaan ini terus berlaku.
Arena politik yang menjijikkan turut dimuatkan dengan semangat perkauman yang melampau. Persatuan-persatuan politik bangang yang berteraskan bangsa terus menguasai pentadbiran negara. Negara terus digonggong oleh ketua-ketua bangsa yang kononnya hendak memartabatkan bangsa. Dengan bangga mereka berkata bahawa segalanya ini adalah untuk bangsa mereka. Tidak salah untuk membantu bangsa tetapi perlukah sehingga menindas, menekan dan membenci bangsa lain? Kerajaan bukannya hendak membangunkan Malaysia ini sebaiknya tetapi sibuk dengan perluasan kuasa dan pengumpulan harta untuk kroni-kroni tersayang mereka.
Malaysia masih lagi berpecah-pecah walaupun sibuk diperkatakan akan masyarakat harmoni. Kita akan terdengar bahawa kawasan ini adalah kawasan melayu,lot perniagaan ini dikhaskan untuk orang cina atau orang india dengan orang india sahaja. Sifat dengki-mendengki dikalangan bangsa terus diwujudkan.
Selain itu, sifat membenci kepada imigran asing adalah terdiri di dalam konteks perkauman juga.Baru-baru ini di Britain, keadaan huru-hara berlaku akibat permusuhan terhadap imigran dari Asia. Bermula dengan adengan memukul pemandu teksi berketurunan singh, aksi membenci Asia disemarakkan dan memaksa orang-orang yang berasal dari Asia di sana membuat tindakan balas. Tindakan balas ini akhirnya menghasilkan rusuhan kaum yang amat dasyat. Perlukah kita keadaan ini di Malaysia? Perlukah kita memukul atau menghina Mat Bangla dan Minah Indon yang tidak salah itu. Lainlah jika mereka buat salah maka tentunya mereka patut dihukum seadilnya seperti rakyat Malaysia juga.
Pergerakan nazi turut berkembang di Malaysia hasil pengajaran sesat dari Adolf Hitler gamaknya. Malah ditambah pula dengan aduan resepi nasi basi oleh Sex Pistols, maka dengan tidak malunya mereka berkata kamilah punk nazi yang ‘cha@s’ atau ganas sedangkan mereka berperangai seperti keanak-anakkan yang penuh kehuru-haraan. Punk nazi menyangkak ini adalah dalam golongan mereka yang kurang bernasib baik kerana telah menerima pelajaran yang terpencong dari norma kehidupan manusia yang sebenarnya. Marilah kita membantu mereka kembali ke pangkal jalan sebelum mereka terjerumus ke lembah hitam yang lebih dalam setakat mana yang termampu.
Berbalik kepada keadaan masyarakat Malaysia, ada yang melihat sifat perkauman itu sehingga ke peringkat pemakanan. Bukanlah dikatakan perkauman sekiranya berlaku pemilihan dalam pemakanan. Jangan fikirkan sehingga peringkat yang melampau yang melebihi batasan. Keadaan yang dilihat apabila suatu bangsa itu hanya makan di kedai yang pemiliknya sama bangsanya, bukanlah kerana perbezaan bangsa tetapi kerana perbezaan agama. Mungkin keadaan di Malaysia ini dimana setiap agama itu terdiri dari majoriti yang sama bangsanya dalam sesuatu agama. Walhal, keadaan ini adalah kerana bentuk pemakanan yang berbeza diantara agama. Tidak dinafikan juga, ada pihak yang mempunyai semangat perkauman yang tinggi yang memilih kedai makan kerana perbezaan bangsa, perkara ini haruslah dielakkan. Jika memilih kedai kerana agama adalah bukan suatu kesalahan kerana pegangan agama adalah hak peribadi. Ditegaskan lagi bahawa agama adalah pilihan individu, maka bukanlah suatu kesalahan jika aspek pemakanan ini dibezakan oleh pegangan dan amalan dalam agama yang dianuti. Agama adalah pilihan bebas individu itu sendiri tetapi bangsa merupakan suatu yang ditetapkan oleh pencipta agar manusia itu dapat lebih kenal-mengenali dengan bangsa yang berlainan. Kepelbagaian bangsa ini bukanlah untuk mewujudkan kebencian dan permusuhan.
Berkait dengan isu perkauman ini, terdapat pihak yang, memberikan buah pendapat yang mana masalah perkauman di Malaysia ini berpunca disebabkan oleh akta kerajaan yang dikenali sebagai Hak Keistimewaan Orang Melayu. Tidak dinafikan bahawa hak ini turut memberikan kesan kecil ke atas semngat perkauman yang wujud kini.Tetapi bukanlah punca sebenarnya kerana segalanya adalah datangnya dari individu itu sendiri. Hak keistimewaan orang melayu ini dibentuk di penubuhan Malaysia sebagai suatu cara memartabatkan dan memelihara kewujudan bangsa melayu sebagai bangsa peneroka di Tanah Melayu itu sendiri. Perkara ini diwujudkan bukanlah untuk perluasan taklukan bangsa atau untuk menbenci bangsa lain. Akta ini juga diancam boleh mendatangkan kesensitifan ke atas seluruh masyarakat, jangan benarkan peristiwa 13 Mei kembali. Kerajaan pemerintah diktator yang berteraskan bangsa di masa ini yang bertanggungjawab menghuru-harakan keadaan dengan tujuan penguasaan takhta agar dapat mengaut segala hak rakyat demi kepentingan peribadi.
Sifat perkauman harus ditentang seadanya. Perkauman mendatangkan kemudaratan dan bakal menghadirkan malapetaka yang besar. Sesungguhnya bangsa tidak membezakan manusia, mungkin dari paras rupa dan warna
kulit tetapi bukanlah hati dan hirarki. Marilah kita terus-menerus menentang sifat perkauman bermula dari diri kita, keluarga dan rakan-rakan sehinggalah ke peringkat masyarakat terbesar. Sebagai seorang yang bergelar diy hc/punk tentunya amat faham akan keburukan semangat perkauman ini. Kita, sebagai golongan yang bernasib baik, yang mengerti akan hakikat sebenar seharusnya menjadi contoh secara langsung atau tidak langsung kepada pihak-pihak di sekeliling. Mungkin susah bagi kita untuk mengubah perspektif masyarakat terhadap bangsa ini, tetapi kita harus teruskan semangat dan tenaga kita dengan sehabis baik untuk mengubahnya.
Buangkan sifat perkauman dari diri kita dan jangan sesekali kita menyokong aktiviti yang berteraskan bangsa . Persatuan yang menerapkan semangat perkauman adalah suatu perkara yang membahayakan.
TENTANG PERKAUMAN UNTUK KEDAMAIAN.
Sunday, August 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment