Sunday, July 26, 2009

D.I.Y PUNK/HARDCORE dan KOLETIVISME DI MALAYSIA?

D.I.Y punk/hc di Malaysia sangat sinonim dengan kolektif. Hampir disegenap penjuru tempat dalam komuniti kecil punk/hc di Malaysia ini mempunyai kolektif. Tapi, apa itu kolektif yang sebenarnya?

Kolektif adalah satu organisasi kecil yang mana terdapat seramai 5-100 orang atau lebih. Namun pada kebiasaannya, sesebuah kolektif yang wujud dalam komuniti d.i.y punk.hc di Malaysia ini hanya terdiri daripada 5-20 orang ahli sukarela dalam sebuah kolektif.

Kewujudan kolektif dalam komuniti d.i.y punk/hc di Malaysia ini bermula pada sekitar tahun 1997. Coalition Of Relation Collective, K.O.O.F, Callus Collective, Food Not Bombs Kuala Lumpur, Network Of Solidarity Collective, Community Coalition Collective dan Co-Punx Collective merupakan antara pelopor kolektivisme d.i.y punk/hc di Malaysia ini. Semua kolektif yang disebut di atas adalah kolektif yang wujud sebelum tahun 2000.

Kesedaran tentang kolektivisme dikalangan d.i.y punk/hc di Malaysia ini mula terserlah pada tahun 2002 dan 2003 di mana lebih banyak kolektif mula diwujudkan. Sudah menjadi kebiasaan di mana pada setiap tahun pasti akan ada satu persidangan kolektif se-Malaysia yang dijayakan yang mana pada persidangan tersebut akan mengumpulkan wakil-wakil dari semua kolektif yang ada di Malaysia ini untuk berbincang dan bertukar-tukar maklumat dan informasi terkini tentang komuniti d.i.y punk/hc di tempat masing-masing.

Kolektif merupakan satu organisasi yang bergerak tanpa hirarki. Biasanya ahli sukarelawan dalam setiap kolektif mempunyai minat, pandangan dan pendapat politik yang sama. Kebanyakan kolektif di Malaysia ini adalah bersifat 'lokaliti' yang mana mereka lebih menumpukan tentang isu-isu semasa komuniti tempatan sekeliling mereka. Namun, kolektif yang mengamalkan 'de-sentralisasi' kolektif juga wujud di Malaysia ini.

Antara aktiviti yang dilakukan secara kolektif adalah mengadakan bengkel, infoshop, membuat zine dan risalah, menganjurkan demonstrasi, dan juga menjaring dan mewujudkan lebih banyak kolektif.

Konsensus dan Demokrasi Langsung (direct demokrasi) sangat dipraktikkan dalam mencapai sesuatu keputusan dalam kolektif. Kedua-dua kaedah ini digunakan dalam mencapai sesuatu keputusan agar tiada penafian idea/suara/pendapat berlaku. Dengan kata lainnya, melalui dua kaedah ini, semua pendapat yang disuarakan oleh ahli sukarela kolektif didengar dan dipertimbangkan oleh semua ahli kolektif sebelum sesuatu keputusan ditentukan oleh semua. Kerana itulah jumlah bilangan ahli sukarela yang fleksibel dalam sesebuah kolektif adalah diantara 5-15 orang sahaja.

No comments:

Post a Comment